Kebebasan siber atau Internet, daripada penapisan pihak berkuasa telah diperuntukkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan diulang melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia. Ia mengangkat falsafah murni demokrasi. Malangnya ia juga membina tanggapan bahawa pengguna Internet bebas menulis apa sahaja termasuk caci-cerca dan sumpah-seranah.
Namun ramai yang lupa bahawa kebebasan daripada kekangan penapisan tidak pula membebaskan pengguna Internet daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Kita faham bahawa kebebasan yang diberikan kepada Internet mengangkat falsafah bahawa kerajaan mengutamakan percambahan maklumat, ilmu dan idea yang boleh membangunkan keupayaan intelek rakyat Malaysia seiring dengan bangsa lain yang sudah maju. Di samping itu hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub teknologi komunikasi dan informasi di Asia Tenggara, mendesak kerajaan supaya melayani kehendak pelabur asing dalam industri berkenaan.
Namun pada ketika ini kita dapat melihat elemen-elemen yang bertentangan dengan harapan kerajaan khususnya dalam konteks keharmonian sosial bagi masyarakat berbilang kaum.
Pertentangan ini dapat dikesan daripada kelewahan bahasa kesat dengan caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum yang berlangsung melalui Internet. Suasana sedemikian pastinya tidak membantu Gagasan 1 Malaysia apatah lagi membina hubungan empatetik antara pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam.
Titah Tuanku Mizan pada 15 Mac lalu, khususnya tentang kebiadaban dan bahasa kesat pengguna Internet, tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi kebebasan siber boleh saja tercerna dengan unsur-unsur fitnah, pembohongan, hasutan, dan prejudis yang tebal dengan sentimen perkauman.
Setakat 20 Mac 2010, kajian yang diperoleh daripada rujukan kepada enjin carian Google mendapati bahawa caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum oleh golongan dan individu yang tidak bertanggungjawab amat lumayan seperti statistik berikut.
"Melayu"+ "Babi" 703,000
"Melayu"+ "Sial" 139,000
"Melayu"+ "Celaka" 108,000
"Cina"+ "Babi" 661,000
"Cina"+ "Sial" 119,000
"Cina"+ "Celaka" 82,000
"Keling"+ "Babi" 116,000
"Keling"+ "Sial" 15,900
"Keling"+ "Celaka" 41,600
Senarai dapatan sedemikian belum lagi memasukkan unsur-unsur pornografi, ajaran sesat, keganasan global, kaedah membunuh diri, cara-cara membuat bom dan ribuan kegenjotan sosial yang tidak pernah kita fikirkan. Malah gejala penggunaan kata-kata kesat itu juga berbaur dengan kempen kebencian terhadap sesuatu kaum.
menzahirkan
Tanpa mahu menuding jari siapa dan kaum manakah yang menulis bahasa kesat sedemikian dan atas konteks apakah tulisan itu dimuat naik, maki-hamun sedemikian pastinya tidak membantu negara multietnik seperti Malaysia khususnya dalam usaha negara menzahirkan gagasan 1Malaysia.
Dengan data penggunaan kata-kata kesat seperti yang dipaparkan, tidak hairanlah jika negara seperti Iran (pada awal Feb 2010) telah mengharamkan enjin carian 'Google'. Pastinya tindakan kerajaan Iran adalah untuk mencegah carian-carian maklumat dan berita yang boleh merosakkan minda masyarakat serta keharmonian negara. Namun kita pasti, itu bukanlah penyelesaian yang berkesan.
Adolf Hitler, tokoh diktator Jerman yang dikeji di Eropah dan Barat pernah berkata, "Sesuatu pembohongan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi." Malah Hitler menambah, "Lebih besar sesuatu pembohongan, maka ahli masyarakat akan lebih mempercayainya".
Dengan jelas pula Allah telah mengingatkan: Apabila datang kepada kamu berita daripada orang-orang yang fasik maka hendaklah kamu mencari kepastiannya terlebih dahulu (Al Hujarat ayat 6).
Pada Jun 2009, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon menguar-uarkan supaya semua ahli masyarakat global membantu menghapuskan kempen kebencian yang amat lewah melalui Internet. Antara kempen kebencian yang dimaksudkan oleh Ki-Moon adalah kempen kebencian terhadap Islam. Pastinya kempen kebencian sebegitu mengandung fitnah, pembohongan dan hasutan sebagai mekanisme pemujukan yang boleh menyumbang kepada perbalahan antara agama, malah perbalahan ketamadunan.
Sememangnya belum lagi terbukti bahawa siber boleh dikaitkan secara signifikan sebagai punca yang menyebabkan konflik kaum di Malaysia. Namun situasi yang berlangsung dalam siber yang sedemikian bebas dan biadab, telah membina suatu persekitaran sosial yang serba mungkin.
Tunku Abdul Rahman (1969) dalam buku beliau 13th May: Before and After telah mengaitkan media massa (luar negara) sebagai sebahagian daripada punca meletusnya peristiwa berdarah 13 Mei.
persekitaran
Kita curiga, sebagaimana yang pernah ditulis oleh Goh Cheng Teik (1978), suasana panas sedemikian boleh sahaja diterjemahkan sebagai persekitaran yang dibayangi oleh 'bom jangka'. Ia boleh meledak bila-bila masa sahaja.
Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pribumi Perkasa (sebagaimana yang tersiar dalam akhbar arus perdana Melayu bertarikh 3 April 2010), berpandangan bahawa, "tidak salah untuk ditafsirkan bahawa perkembangan di Malaysia hari ini seolah-olah serupa dengan perkembangan sosio-politik dan ekonomi yang mengiringi tercetusnya tragedi 13 Mei 1969."
Apa yang lebih membimbangkan, sebagaimana yang pernah didedahkan oleh Presiden Perikatan Bloggers Kebangsaan, Datuk Ahirudin Attan, dalam satu Kolokium di UiTM tahun lalu, 50 peratus daripada ahli-ahli kesatuannya menolak etika kewartawanan.
Etika itu sendiri dalam konteks kebebasan media, adalah kekangan kepada falsafah kebebasan media. Namun kelihatannya ada antara pengguna Internet lupa bahawa kebebasan mutlak akan menurunkan martabat manusia yang berakal dan bertamadun kepada tahap haiwan yang hidup dalam persekitaran hukum rimba.
Amat tidak adil untuk menterjemahkan bahawa Gagasan 1 Malaysia telah gagal dengan sekadar melihat gelagat pengguna Internet sedemikian. Namun kita pasti gelagat sedemikian tidak membantu negara untuk mencapai hasrat murni bagi memantapkan hubungan antara kaum.
Kita yakin demokrasi juga menentang falsafah kebebasan mutlak sedemikian kerana kekebasan itu harus ditunjangi oleh tangungjawab dan akauntabiliti semua pengguna Internet. Ertinya kebebasan siber juga haruslah ditunjangi oleh prinsip-prinsip etika kewartawanan serta kepercayaan kepada Allah.